SHAH ALAM, 20 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) bersedia menggerakkan kakitangan termasuk aset mendepani musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijadual berakhir Mac tahun depan, kata pengarah urusannya.
Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya turut menyediakan tong sampah besar ‘Roll On Roll Off’ (Roro) bagi memudahkan kutipan sampah bagi penduduk.
"Seramai 10,000 kru termasuk kakitangan KDEBWM siap sedia digerakkan ke lapangan untuk pembersihan, kutipan sampah dan jalan raya. Selain itu, kita mempunyai lebih 1,000 tong roro dan lori kompaktor.
"Setakat ini, kita kenal pasti beberapa kawasan yang perlu diberi tumpuan antaranya di Kajang, Dengkil, Klang, Kuala Langat dan Shah Alam yang sering dinaiki air," katanya kepada SelangorKini.
[caption id="attachment_652035" align="alignleft" width="500"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berucap sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan diantara KDEB Waste Management dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 12 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambahnya, pihaknya turut membuat analisis di kawasan sering dinaiki air bagi mengetahui punca sama ada laluan tersumbat selain membolehkan tindakan diambil.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sejumlah 262.8 tan sampah dikutip di 26 lokasi dari Mei hingga Oktober lalu.
"Kutipan sampah ini melibatkan tujuh pihak berkuasa tempatan yang mana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tertinggi dengan 140 tan sampah diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (42 tan) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (28 tan).
"Bagi kawasan dilanda banjir kilat, kita terus menyediakan tong roro di lokasi tersebut selepas air surut untuk memudahkan penduduk membuang perabot atau peralatan rosak," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka MTL bermula bulan ini sehingga Mac depan dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri mengadakan latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi bagi menghadapi MTL.
Baru-baru ini, lima kawasan di daerah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan. Kawasan itu ialah di Bandar Bukit Raja, Kampung Batu Belah, Rantau Panjang, Meru dan Padang Jawa.