SHAH ALAM, 19 NOV: Usahawan di negeri ini termasuk pemilik kafe yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan dipelawa memohon Skim i-Bisnes.
Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) berkata skim itu menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada usahawan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan serta menambah modal pusingan.
"Dengan Skim Pembiayaan i-Bisnes, dapatkan pembiayaan sehingga RM50,000 untuk mengembangkan perniagaan anda.
"Untuk maklumat lanjut, layari hijrahselangor.com atau imbas kod QR (poster di bawah) untuk permohonan dalam talian," katanya menerusi Facebook semalam.
Pada 11 September, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.