KUALA SELANGOR, 17 NOV: Kerajaan Negeri merancang menganjur pelbagai kejohanan sukan termasuk di peringkat antarabangsa bagi merancakkan lagi industri pelancongan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu merupakan strategi bagi menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Selangor.
“Salah satu tarikan di Selangor adalah penganjuran acara termasuk antarabangsa seperti Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang dilaksana hampir setiap tahun.
“Usaha ini diteruskan dengan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026 dan Belanjawan Selangor 2025 saya sudah umumkan rancangan bangunkan sukan pickleball termasuk acara selain sukan seperti festival kopi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Kejohanan Antarabangsa Silat Tempur di Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.
[caption id="attachment_673665" align="alignnone" width="814"] Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas Majlis Penutup Kejuaraan Silat Tempur Antarabangsa Terbuka Malaysia 2024 di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam pada 17 November 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada masa sama, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan pembangunan sukan silat tempur sebagai persiapan menghadapi SUKMA ke-22.
Beliau memaklumkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Selangor akan menganjurkan pelbagai kejohanan bagi acara ini.
“Ikut rekod SUKMA Sarawak 2024, Selangor hanya raih satu pingat emas namun banyak kategori lain pesilat negeri melangkah ke akhir.
“Penganjuran pertandingan ini strategi memperkemas persiapan di SUKMA 2026,” jelasnya.