SUBANG JAYA, 16 NOV: Seramai 206 peserta berentap dalam Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), hari ini.
Berlangsung di Dewan Serbaguna MBSJ Seksyen 10 Putra Heights (Camelia), sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu terbuka beregu lelaki dan wanita, beregu campuran dan veteran lelaki dan wanita.
Datuk Bandarnya Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata kejohanan kali pertama dianjurkan MBSJ itu bagi menyokong pembangunan sukan dan menarik warga Subang Jaya menceburi bidang sukan pickleball itu.
"Sukan ini juga bukan hanya boleh dimainkan oleh golongan muda malahan warga emas yang masih aktif bersukan juga boleh menceburi sukan ini.
[caption id="attachment_673477" align="aligncenter" width="688"] Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim bersama ADUN Kota Kemuning, Preakas Sampunathan dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (tengah) bergambar bersama para peserta pada Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ Putra Heights (Camelia) pada 16 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Malah, penganjuran kejohanan ini sebagai menyahut aspirasi Kerajaan Negeri yang mahu mengangkat sukan pickleball seperti diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2025, semalam,"katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Persatuan Pickleball Subang Jaya KS Yap menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri yang mahu mengangkat sukan pickleball.
"Satu inisiatif yang sangat bagus dan sedikit sebanyak dapat membantu menarik lebih ramai orang menyertai sukan yang mungkin asing di Malaysia ini.
"Sebelum ini cabaran kami untuk dapatkan dana dan fasiliti pickleball agak terhad, semoga dengan pengumuman (Belanjawan Selangor) semalam sukan ini lebih dikenali ramai," katanya.
[caption id="attachment_673479" align="aligncenter" width="703"] Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tiga kiri) bersama ADUN Kota Kemuning, Preakas Sampunathan (dua kanan) dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (tiga kanan) bergambar ketika hadir pada Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ Putra Heights (Camelia) pada 16 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu, Amirul Azizan hadir menyempurnakan Kejohanan Jemputan Pickleball Piala Datuk Bandar MBSJ yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM6,000.
Kejohanan itu merupakan anjuran bersama MBSJ dengan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 7, Persatuan Pickleball Subang Jaya, MyPickleball dan ProXR.
Semalam, menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan mahu memperkenal sukan pickleball dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.