SHAH ALAM, 16 NOV: Lebih RM100 bilion nilai eksport negara bakal dijana menjelang 2030 menerusi sektor semikonduktor di Lembah Klang Raya.
Dato' Menteri Besar berkata bagi menyokong ekosistem berkenaan, RM50 juta disumbangkan Selangor mulai tahun ini hingga 2029.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari kerajaan persekutuan dianggar menyalurkan RM100 juta bagi inisiatif tersebut.
"Selain itu, sebuah lagi anak syarikat Selangor PNSB Venture turut menyediakan Dana Perkasa Selangor berjumlah RM100 juta untuk menyokong ekosistem semikonduktor," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 semalam.
Industri semikonduktor sedang berkembang pesat khusus dalam sektor Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan penubuhan Malaysia: Hab Selangor merupakan pusat sektor semikonduktor terbesar di Asia Tenggara.
Taman itu menarik penyertaan tujuh syarikat IC tempatan dan antarabangsa malah lapan syarikat termasuk dari China, India, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Taiwan, dan Brazil menyatakan minat.
Projek ini dijangka menyediakan 500 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,000 untuk graduan baharu dan 100 jurutera akan mula bekerja menjelang akhir 2024 serta 200 orang dihantar latihan ke China dan India.
Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut merancang membina IC 2 di Cyberjaya, yang dijangka dilancar pada awal 2025.


