SHAH ALAM, 16 NOV: Dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bakal dibuka di Kuala Langat dan Hulu Selangor tahun depan.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukan RM400,000 untuk menaik taraf kemudahan dan pembelian aset di PAWE Ampang, Paya Jaras, Setia Alam dan Seri Kembangan pada 2025.
"Penubuhan pusat ini disasarkan kepada warga emas yang sihat, dapat menguruskan diri dan merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan melibatkan kerjasama strategik antara Kementeri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor semalam.
[caption id="attachment_661188" align="aligncenter" width="949"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua di Kampung Wira Damai, Gombak pada 1 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata langkah itu merupakan kesinambungan hasrat Kerajaan Negeri memperuntukkan geran penubuhan PAWE dengan reka bentuk universal memfokus elemen penting yang memberi kesan kepada fizikal, emosi, sosial dan keperluan warga emas setempat.
Antara usaha telah dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah pembinaan PAWE Sungai Tua, Gombak di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Selayang.
Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM400,000 bagi melaksanakan program dan inisiatif berkaitan kesihatan warga emas pada 2025.
Antara program bakal dilaksanakan adalah saringan kesihatan warga emas dan advokasi serta promosi berkaitan penjagaan gaya hidup sihat.
[caption id="attachment_661189" align="aligncenter" width="1162"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua di Kampung Wira Damai, Gombak selepas merasmikannya pada 1 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]


