AGENDA

Negeri bangun pelan Lembah Klang Raya, realisasi metropolitan pertama negara

15 Nov 2024, 1:03 PM
Negeri bangun pelan Lembah Klang Raya, realisasi metropolitan pertama negara

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri bakal membangunkan pelan tindakan Lembah Klang Raya 2035 termasuk membentang enakmen baharu bagi merealisasi bandar metropolitan pertama negara.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif bagi memperkukuh keperluan empat bandar raya utama negeri iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang akan dilaksana dengan peruntukan RM3 juta.

"Pelan tindakan akan mengenal pasti aspek seperti pembangunan spatial, zon pembangunan ekonomi khas yang tidak bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi potensi besar teknologi, pembaharuan semula bandar-bandar serta projek pembangunan komuniti bagi mewujudkan bandar yang selesa dan sejahtera.

"Sehubungan dengan itu, Enakmen SGKV turut akan dibangunkan dan dibentangkan bagi penelitian Ahli Dewan Negeri agar Lembah Klang Raya dapat menjadi model pentadbiran metropolitan pertama di Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Amirudin berkata empat bandar raya yang digabung menjadi Lembah Klang Raya mampu bersaing dan dibanding dengan kota utama Asia menerusi penyediaan kualiti infrastruktur fizikal dan digital.

Jelas beliau, gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.