AGENDA

Dana RM2.5 juta teruskan projek terjemah karya agung, kesenian Islam

15 Nov 2024, 11:24 AM
Dana RM2.5 juta teruskan projek terjemah karya agung, kesenian Islam

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri bakal menganjurkan Festival Kesenian Islam sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata festival berkenaan akan diisi dengan kandungan Islamik bermutu dengan peruntukan RM1.5 juta.

"Tradisi keilmuan Islam berasaskan turath atau kitab muktabar seharusnya menjadi tumpuan, bukannya kandungan TikTok yang menghasut, menimbulkan perpecahan atau kekeliruan.

"Kita juga berhasrat mencipta suatu kitaran ekonomi dengan kehadiran yang mencecah ratusan ribu seumpama Majlis Darul Ehsan Berselawat," katanya membentangkan Belanjawan Negeri 2025.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri julung kali menganjur Festival Turath Islami bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi meneruskan usaha menterjemah karya warisan ilmuwan dan tamadun Islam.

Menurutnya, sejumlah RM500,000 daripada peruntukan itu akan digunakan bagi menterjemah karya bertema Asia Tenggara termasuk tokoh terkemuka rantau ini.

"Waima percambahan ilmu yang hebat, dunia Islam tidak sesekali tergugat citra Islamik. Malahan ia menjadikan ulama Islam lebih berkeyakinan dan wibawa di pandangan ilmuwan tamadun lain," katanya.

Sebelum ini, IBDE giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.