ad
AGENDA

Pengecualian duti hiburan artis tempatan, 10 peratus artis luar

15 Nov 2024, 9:26 AM
Pengecualian duti hiburan artis tempatan, 10 peratus artis luar

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan mengecualikan secara penuh duti hiburan bagi artis tempatan bermula tahun depan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Manakala bagi artis antarabangsa, duti hiburan dikurangkan daripada kadar 25 peratus kepada 10 peratus bagi meraikan artis luar negara memeriahkan industri kreatif dan muzik di Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dasar baharu bagi pameran bertiket turut diperkenal dengan pengurangan duti hiburan daripada 25 peratus kepada 15 peratus bermula 2025.

"Semua ini dianggarkan membawa implikasi kewangan sebanyak RM13.17 juta sepanjang tahun depan.

"Pentadbiran ini percaya penjimatan di tangan pengguna mampu membawa kebaikan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi sepanjang pementasan dan konsert sambil memupuk lebih ramai generasi muda untuk mencungkil bakat masing-masing," katanya membentangkan Belanjawan Negeri 2025.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas panggung wayang, taman tema dan konsert selama lima tahun berkuat kuasa bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Ia termasuklah pengurangan 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan selain pengurangan 5 peratus duti hiburan turut diberi kepada taman tema, pusat rekreasi keluarga, permainan 'indoor' dan 'simulator'.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.