OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 14 NOV: Sektor pelancongan dijangka menerima peruntukan tambahan dalam Belanjawan Selangor 2025 untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata, peruntukan tambahan itu bagi merancakkan aktiviti pelancongan sekali gus mencapai sasaran menarik lebih lapan juta pelancong sempena TMS2025.
“Kita tunggu pembentangan belanjawan oleh Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari jam 3 petang esok.
“Mungkin ada peruntukan (tambahan), kerana tahun depan adalah Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya ketika ditemui pada Program Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) di sini.
Amirudin sebelum ini berkata peruntukan bagi sektor pelancongan negeri akan meningkat berbanding RM5.3 juta tahun ini.
Sempena TMS2025, Selangor menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa mengunjungi negeri ini yang menawarkan lebih 60 program.