ad
AGENDA

Pelawak Shuib didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan, penalti RM1.6 juta

14 Nov 2024, 6:15 AM
Pelawak Shuib didakwa gagal bayar cukai perkhidmatan, penalti RM1.6 juta

SHAH ALAM, 14 NOV: Pelawak terkenal Shuib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.

Turut didakwa ialah Pengarah Bersama Koh Choon Guan, 33, dan syarikat mereka, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee), masing-masing atas pertuduhan sama, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dan Choon Guan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1.191 juta dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada ketua pengarah Kastam.

Hakim menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Disember depan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.