ad
AGENSI

ANIS anjur kursus, beri pendedahan keperluan OKU dalam sektor pekerjaan

13 Nov 2024, 7:40 AM
ANIS anjur kursus, beri pendedahan keperluan OKU dalam sektor pekerjaan

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) menganjurkan kursus Disability Equality Training (DET) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, semalam.

ANIS memaklumkan, kursus kepada anak-anak syarikat MBI itu dibuat bagi memberi pendedahan mengenai keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam sektor pekerjaan.

“Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan berkaitan DET serta menggalakkan pemahaman dan pengetahuan mengenai keperluan aksesibiliti OKU.

“Ini bagi memastikan golongan OKU dapat mengakses peluang yang sama di persekitaran fizikal dan digital dalam dunia pekerjaan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Menurut ANIS, kursus merangkumi topik yang berkaitan kekurangupayaan dalam konteks model sosial dan cara membantu OKU disampaikan oleh wakil Malaysia Independent Living Association for Disabled (MILAD).

Menerusi program ini, ANIS berharap golongan OKU dapat diberi peluang pekerjaan selaras dengan dasar OKU satu peratus dalam kalangan majikan di Selangor.

Kerajaan memperkenalkan dasar satu peratus OKU kepada semua majikan khususnya sektor awam pada 1988 bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan pekerjaan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.