KLANG, 12 NOV: Kerajaan Negeri menyasar kehadiran ramai pelancong luar negara khususnya dari Singapura, Indonesia, dan China sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata pihaknya sudah menjalankan siri jerayawara di luar negara sejak awal tahun ini bagi mempromosi Selangor di persada antarabangsa.
“Kita sudah ke lapan bandar raya utama di China serta beberapa lokasi di Indonesia bagi promosi pelancongan perubatan selain Eropah, London, Dubai, dan India dengan tujuan perkenalkan Selangor.
“Kalau tahun ini mereka tidak dapat datang, mungkin mereka datang tahun depan. Itu lebih bagus kerana kita ada Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya pada sidang media.
[caption id="attachment_672685" align="aligncenter" width="1125"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (tengah) memotong kek sambil diperhatikan Pengarah Urusan GM Klang Dato’ Lim Seng Kok (kanan) pada Majlis Ulang Tahun ke-15 GM Klang di Klang pada 12 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pelancaran kempen istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di ruang legar pusat beli belah GM Klang di sini, hari ini.
Hadir sama Pengurus Jabatan Promosi Tourism Selangor, Khuzaimah Jamaluddin dan Pengarah Urusan GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok.
Sementara itu, Suee Lim berharap lebih banyak pusat beli belah menyertai kempen Tahun Melawat Selangor 2025 sekali gus membantu memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat negeri ini.
Beliau memuji usaha GM Klang yang turut serta memperhebat kempen pelancongan negeri selain menjadi perintis kepada syarikat swasta lain.
“Kita harap semua pusat beli belah dapat sediakan ruang untuk promosi Tahun Melawat Selangor atau sekurang-kurangnya anjur program berkaitan makanan, sejarah dan produk pelancongan Selangor,” katanya.
Tourism Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025, dengan resit perbelanjaan pelancongan mencecah RM11.7 bilion.
[caption id="attachment_672676" align="aligncenter" width="1314"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berucap pada majlis pelancaran kempen istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di ruang legar pusat beli belah itu pada 12 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]