SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak 29 penyertaan program Pencarian Ikon Agro Selangor 2024 diterima selepas tarikh tutup permohonan pada 10 November lalu.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pihaknya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk program hari ini bagi menilai dan memilih peserta yang layak menjadi calon akhir.
“Kita menerima 29 penyertaan terdiri daripada individu, syarikat dan juga pertubuhan. Semua permohonan akan dinilai dan mereka layak dipilih untuk menjadi calon akhir Ikon Agro Selangor 2024.
“Keputusan senarai calon akhir ini akan diumumkan pada minggu ini juga dan selepas itu sesi rakaman dan suntingan video akan dijalankan di lokasi calon akhir Ikon Agro Selangor,” katanya menerusi Facebook.
Program berkenaan dianjurkan bertujuan menjadikan Selangor sebagai pusat bekalan makanan selain menggalakkan lebih ramai berkecimpung dalam industri.
Lima kategori dipertandingkan dalam program edisi ketiga iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agropelancongan.








