AGENDA

Lima kenderaan terperangkap banjir kilat di Persiaran Surian Damansara

12 Nov 2024, 2:25 AM
Lima kenderaan terperangkap banjir kilat di Persiaran Surian Damansara

SHAH ALAM, 12 NOV: Sebanyak lima kenderaan terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Persiaran Surian Damansara - Taman Pelangi Damansara Petaling Jaya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian dilapor berlaku pada jam 8.09 pagi ini.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus menyebabkan kesesakan jalan raya lebih 30 minit dengan anggaran kedalaman paras air satu kaki.

“Komander operasi lapor berlaku banjir kilat di lokasi dan terdapat lima buah kenderaan teperangkap dalam banjir dan tidak melibatkan mangsa.

“Bagaimanapun, paras air di lokasi semakin surut dan kenderaan dilaporkan terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali musim tengkujuh diramal berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua pengarah MetMalaysia memaklumkan sekiranya hujan lebat berterusan serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta peka dengan maklumat, nasihat dan ramalan cuaca melalui www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia atau hubungi talian 1-300-221-638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.