KUALA SELANGOR, 9 NOV: Pelepasan air empangan di Selangor dilaksana secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut, maklum exco infrastruktur.
Ir Izham Hashim berkata langkah mengurangkan kapasiti simpanan air itu mendatangkan impak positif yang dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sejak Ogos lalu.
“Kita keluarkan secara berperingkat biasanya pada kadar 10 peratus, maksudnya kalau mencecah 100 peratus kita kurangkan jadi 90 peratus supaya ia boleh menampan air hujan.
“Pada kadar 10 peratus ini juga kita lepaskan secara berperingkat supaya dapat menampung dan tidak membebankan aliran sungai. Alhamdulillah, keadaan empangan tidak mengalami masalah setakat ini,” katanya.
[caption id="attachment_672161" align="aligncenter" width="1088"] EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim melawat rumah pam air pada Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej B di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 8 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej Bm di Kolam Hang Tuah No 5, Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini, semalam.
Ditanya mengenai pemantauan fungsi pam air di Sri Muda, beliau berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini menjalankan kerja naik taraf longkang dan perparitan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir di kawasan itu.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dalam proses membekalkan utiliti elektrik bagi memastikan kelancaran operasi.
“Pam air berfungsi dengan baik selepas tiga unit skru ditambah yang boleh mengeluarkan lima kali ganda air banjir,” jelasnya.