SUBANG JAYA, 8 NOV: Pentadbiran berhasrat meneliti pembangunan koperasi wanita di negeri ini, selaras dengan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata konsep koperasi wanita dalam pembangunan berkelompok adalah sejajar dengan hasrat mengangkat sosioekonomi golongan berkenaan.
“Setakat ini kita belum ada rancangan, tetapi dengan peluang yang ada, ia sejajar dengan dasar wanita Selangor, yang mana antara salah satunya adalah mengangkat sosioekonomi wanita.
“Konsep koperasi itu yang menggabungkan secara berkelompok akan bantu angkat martabat wanita,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Simposium Koperasi Wanita 2024, hari ini.
Majlis di Hotel Summit USJ, di sini turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah.
Pada 31 Mei lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 yang bertemakan 'Wanita Maju, Selangor Makmur'.
Dasar itu terdiri daripada lima tumpuan dan tujuh matlamat yang menyentuh setiap aspek dan pembangunan wanita selain membolehkan golongan itu terus berdaya saing.
[caption id="attachment_672091" align="alignnone" width="845"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (dua, kiri) bersama Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyaksikan penyerahan resolusi yang dibentang oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Angkasa Negeri Sembilan, Noorizan Abd Latif kepada Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Peniaga dan Penjaja Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Azizul Bin Alias ketika majlis penutup Simposium Koperasi Wanita 2024 di Hotel Summit, Subang Jaya pada 8 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Abdul Fattah dalam ucapannya mencadangkan gerakan koperasi dilibatkan dalam Sekretariat Asean sebagai salah satu sekretariat utama, bukan hanya bawah sektor pertanian.
Menurutnya, inisiatif itu dapat memberi pengiktirafan yang setimpal kepada koperasi sebagai sektor utama dalam pembangunan sosioekonomi.
“Di Asean, terdapat lebih 300,000 koperasi berkembang pesat, dengan 65 juta individu aktif sebagai ahli koperasi, selain kira-kira 10 peratus daripada populasi Asean mendapat manfaat sosioekonomi,” katanya.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berhasrat membawa koperasi sebagai salah satu agenda utama menerusi Kepengerusian Asean pada tahun depan.


