SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan berhasrat menambah jumlah peserta program MyLesen tahun depan bagi membantu lebih ramai golongan sasar memiliki lesen memandu sah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hasrat itu susulan lebih 130,000 permohonan MyLesen diterima tahun ini, dengan hanya 41,853 individu layak menyertai program berkenaan.
“Kita menerima sambutan menggalakkan tetapi kita tidak dapat terima semua permohonan atas kekangan peruntukan selain program ini juga hanya disediakan kepada golongan B40.
[caption id="attachment_671946" align="aligncenter" width="1101"]
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengagihkan topi keledar kepada peserta ketika majlis penutup program MyLesen Peringkat Selangor di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Shah Alam pada 7 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pemohon juga perlu melepasi beberapa syarat ditetapkan seperti bebas kesalahan undang-undang. Kita harap tahun depan dapat tambah penerima atau sekurang-kurangnya jumlah itu dikekalkan,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Program MyLesen Peringkat Selangor di pejabat JPJ negeri di sini. Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Dalam pada itu, Anthony berharap penerima MyLesen, khususnya golongan belia, dapat menjadi 'duta JPJ' dengan menyebar serta menyemai sifat keselamatan kepada masyarakat.
Menurutnya, program MyLesen merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memberi manfaat secara berterusan kepada golongan sasar dalam negara.
“Menerusi pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15,000 anak muda kurang mampu seperti pelajar sekolah, mahasiswa dan belia,” katanya.
Program MyLesen diperkenal sejak 2015 bagi membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh lesen memandu sekali gus meningkatkan taraf ekonomi dan peluang pekerjaan.
Program itu menyedia bantuan bagi memperoleh lesen Kelas B2 (Motosikal), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk e-hailing dan bas, serta Lesen Vokasional Kenderaan Barangan (GDL) untuk lori.
[caption id="attachment_671947" align="aligncenter" width="1122"]
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersama penerima lesen ketika majlis penutup program MyLesen Peringkat Selangor di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Shah Alam pada 7 November 2024. Turut sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


