KUALA LUMPUR, 6 NOV: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda hampir seluruh negara sehingga 6 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan 2.20 petang ini, MetMalaysia memaklumkan negeri terlibat adalah Selangor (Sabak Bernam dan Hulu Selangor), Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan (Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman).
Cuaca sama dijangka turut melanda Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Maran dan Kuantan), Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Mersing).
Sementara itu, di Sarawak cuaca sama dijangka melanda Kuching, Samarahan, Asajaya, Sarikei, Sibu dan Selangau, Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru dan Marudi), dan Limbang manakala di Sabah melibatkan kawasan pedalaman seperti Sipitang dan Beaufort, serta Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
- BERNAMA



