SHAH ALAM, 6 NOV: Kira-kira 7,500 sukarelawan Team Selangor berada pada tahap siap siaga bagi mendepani musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam sehingga Mac 2025.
Ketua Operasi Team Selangor Sadina Suffian berkata semua ahli di peringkat komuniti juga dilengkapkan dengan ilmu pengurusan bencana daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kami turut mengadakan perjumpaan setiap bulan bagi memastikan semua sukarelawan Team Selangor dalam keadaan bersedia dan aktif.
“Esok kita akan anjur latihan kepada koordinator tempatan di Seksyen 13, khusus berkenaan hal pengurusan bencana untuk memantapkan lagi pengetahuan sukarelawan,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_666419" align="alignleft" width="469"] Sukarelawan Team Selangor membersih lokasi terjejas banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada 4 Oktober 2024. Foto Facebook Team Selangor[/caption]
Dalam pada itu, Sadina menyasar sekurang-kurangnya 800 belia di institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai Team Selangor sebagai nilai tambah kepada persediaan berdepan MTL.
Menurutnya, penyertaan dibuka kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) selain mereka diberikan latihan insentif selama dua bulan pada Oktober dan November ini.
“Sebenarnya kita sering dapat penyertaan daripada belia. Sekarang kita sasarkan kumpulan belia di IPT pula dan mereka juga akan diberikan latihan kemahiran sama seperti sukarelawan lain,” katanya.
Team Selangor yang ditubuhkan pada 2017 merupakan inisiatif kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti yang menyasarkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan.
Khidmat mereka termasuk bertugas di pusat vaksin negeri, membersihkan kediaman mangsa banjir selain menjalankan aktiviti gotong-royong bagi mengajak masyarakat memulihara alam sekitar.