SHAH ALAM, 5 NOV: Wanita Berdaya Selangor (WBS) mempelawa individu berbakat menyertai pertandingan karikatur dan video pendek sempena kempen 16 hari menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
WBS memaklumkan, penyertaan terbuka kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas dan semua karya perlu dihantar sebelum 30 November ini.
“WBS menganjurkan pertandingan kreatif untuk menyalurkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat. Ambil peluang ini untuk suarakan mesej anda.
“Hasilkan karya berdasarkan tema seperti buli, pengabaian kanak-kanak dan keganasan rumah tangga,” katanya menerusi Facebook.
Menurut WBS, peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 selain semua karya dilarang menggunakan bahasa kesat serta mengelakkan isu sensitif.
Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-5545 4879 (Zura/Asyrani) atau ikuti laman sosial WBS bagi mendapatkan maklumat terkini.
Kempen 16 hari menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak merupakan kempen antarabangsa tahunan yang dirai pada setiap 25 November.
Kempen yang bermula sejak 1991 itu digunakan oleh individu dan organisasi untuk menyeru pencegahan dan penghapusan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya.