AGENDA

52,030 pelajar Sabah, Sarawak terima subsidi tiket penerbangan - Loke

5 Nov 2024, 4:32 AM
52,030 pelajar Sabah, Sarawak terima subsidi tiket penerbangan - Loke

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 52,030 pelajar institut pengajian tinggi awam, politeknik, matrikulasi, kolej komuniti dan institut pendidikan guru menerima subsidi pembelian tiket penerbangan FLYSiswa, tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata daripada jumlah itu seramai 22,226 atau 42.7 peratus pelajar berasal dari Sabah manakala 36.8 peratus (19,171) pelajar dari Sarawak.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu seramai 35,183 atau 68 peratus mahasiswa telah menebus baucar FLYSiswa setakat 4 November lalu.

"Bantuan subsidi ini dilaksanakan melalui kaedah pemberian kredit iaitu syarikat penerbangan tempatan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus.

"Inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman, terutamanya mereka yang tiada pilihan mod pengangkutan selain penerbangan," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Loke menjelaskan menerusi mesyuarat bersama jemaah menteri pada 3 September lalu masing-masing bersetuju untuk menjadikan FLYSiswa sebagai inisiatif tahunan.

"Keputusan jemaah menteri mencerminkan tekad kerajaan mengukuhkan integrasi wilayah antara semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan sekali gus memupuk perpaduan kebangsaan selari dengan semangat persekutuan Malaysia.

"Justeru, untuk tahun 2025, subsidi tiket penerbangan termasuk inisiatif FLYSiswa dan subsidi tiket musim perayaan telah dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM48 juta," katanya.