SHAH ALAM, 4 OKT: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang membuka tirai pada 27 November ini dijangka menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung memandangkan program berlangsung bersekali dengan tiga ekspo pendidikan negeri.
Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata kali ini, pesta tahunan itu dianjur bawah Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor yang julung kali diadakan bagi memperkasa agenda Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Kita anggarkan 300,000 pengunjung akan datang sepanjang tujuh hari SIBF berlangsung namun jumlah mungkin meningkat kerana Ekspo Selangor Advance Skill, Selangor Education STEM dan Selangor R&D Inovation berada berhampiran.
“Ini antara faktor kita memilih Pusat Konvensyen Setia City sebagai lokasi kali ini kerana ruang yang luas dan memastikan pengunjung dalam keadaan selesa,” kata Zafrullah Aris kepada Selangorkini.
Beliau berkata pesta sehingga 3 Disember itu menyediakan lebih 400 reruai selain turut disertai pemain industri tempatan serta jemputan khas beberapa negara sekali gus mampu memperluaskan lagi industri buku.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijangka mencemar duli menyempurnakan perasmian program pada hari pertama pesta berlangsung,” katanya.
SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjur Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS, melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.
SIBF 2023 merekodkan kehadiran lebih 250,000 orang daripada pelbagai lapisan usia sepanjang 10 hari penganjuran yang bermula 1 Disember di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13.