SHAH ALAM, 1 NOV: Pentadbiran Presiden Indonesia yang baharu, Prabowo Subianto dijangka bakal mencetus era baharu hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang sedia akrab, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin selain mengharungi pengalaman kerjaya politik hampir sama antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Prabowo membuka peluang meningkatkan kerjasama sedia akrab dalam pelbagai bidang.
Amirudin berkata secara asasnya kepimpinan di Asia Tenggara waktu ini diterajui kepimpinan baharu yang lebih muda usianya termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.
“Ini menjadikan Anwar dan Prabowo yang berumur 70-an ini merupakan dua pemimpin paling senior di rantau Asia Tenggara. Kedua-duanya veteran (politik) dan menunggu lebih 20 tahun untuk sampai ke puncak posisi selaku perdana menteri dan presiden.
“Pada ketika semua rantau berdepan dengan isu pergolakan yang serius seperti di Timur Tengah, China dan kawasan sekelilingnya serta Eropah, kepemimpinan Prabowo dan Anwar dilihat boleh memimpin ASEAN keluar daripada kerangka biasanya dan menjadi rujukan dunia,” katanya.
Pandangan Amirudin selaku moderator dalam program Sembang Malam bertajuk ‘Indonesia Era Prabowo’ turut disokong panelis jemputan yang juga Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar yang melihat pelantikan Prabowo akan terus mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya fikir hubungan Malaysia dan Indonesia ini memang sepanjang masa. Tidak pernah berenggang walaupun ada masalah tersendiri tapi hubungan itu cukup intim.
“Kita melihat dua personaliti luar biasa, veteran, orang lama dalam dunia politik, tetapi bagaimana mereka dapat memberikan kekuatan kepemimpinan dalam konsep ASEAN khususnya dan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor Mohd Hidayat Saufi berkata Prabowo adalah sosok yang memungkinkan Indonesia menerjah era baharu.
“Ketegasan beliau selain memulakan langkah politik dengan mengkonsolidasi semua kekuatan memperlihatkan satu kepimpinan ampuh yang sudah pasti akan memberi kesan dalam konteks hubungan luar tidak terkecuali bilateral Malaysia dan Indonesia.
“Dengan karakter kedua-dua pemimpin ini Anwar sebagai aktivitis, Prabowo yang berlatar belakang ketenteraan dengan faktor Kepengerusian ASEAN yang dipegang Malaysia tahun depan akan memperlihatkan satu kompisisi yang menarik.
“Jalur kimia lain yang boleh dilihat antara kedua-dua pemimpin ini adalah kedua-duanya senada dan begitu tegas mempertahankan kemerdekaan Palestin. Ini antara dua tokoh Islam serantau yang begitu tegas mengetengahkan isu Palestin. Ini mungkin membentuk satu era baharu bagi hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia ke depan,” katanya.
Program Sembang Malam yang dibawa secara eksklusif dan boleh ditonton menerusi platform Selangor TV dan Mana-Mana TV turut menjemput Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Fairuzzaman Shaharuddin.
Pada 20 Oktober lalu, bekas jeneral dan menteri pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia.
Prabowo menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.
Prabowo memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi itu susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.