SHAH ALAM, 30 OKT: Kontinjen Selangor meraih tempat ketiga dalam program Mahrajan Amal Islami Mualaf peringkat kebangsaan yang diadakan selama empat hari pada 18 hingga 21 Oktober lalu.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Menurutnya, Jabatan Pembangunan Mualaf bawah LZS menghantar 24 peserta terdiri daripada saudara baharu bagi menyertai sembilan kategori pertandingan.
“Selangor memenangi tiga acara iaitu tempat ketiga acara tilawah (lelaki), tempat kedua acara hafazan (lelaki) dan tempat kedua bagi acara sukan sepak takraw.
“Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai beserta trofi. Bagi markah keseluruhan Selangor berjaya mendapat tempat ketiga,” katanya menerusi Facebook.
Sembilan kategori pertandingan yang disertai kontinjen Selangor adalah tilawah, hafazan, tazkirah, azan dan iqamah, kuiz thaqafah, video pendek, nasyid, badminton dan sepak takraw.