SHAH ALAM, 30 OKT: Nilai pelaburan yang dilulus bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan di Selangor meningkat RM34.9 billion bagi tempoh separuh pertama 2024.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata kedua-dua sektor menunjukkan peningkatan yang baik, dengan sektor perkhidmatan merekodkan lonjakan sebanyak 178 peratus berbanding tahun lalu.
“Prestasi perdagangan serta pelaburan sektor pembuatan dan perkhidmatan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Saya memberi penekanan agar semua agensi memberi perhatian untuk memudah cara pelaburan di Selangor, khususnya pada masa ketidaktentuan geopolitik antarabangsa ketika ini,” katanya di Facebook.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris, semalam.
Dalam pada itu, Sze Han berkata Selangor memiliki kemudahan infrastruktur terbaik sekali gus menjadi nilai tambah dan destinasi strategik kepada pelabur.
Menurutnya, kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan menerusi perancangan dan pelaksanaan dasar yang rapi bagi memastikan ekonomi negeri terus maju.
“Semoga semua agensi dapat bekerjasama melaksanakan dasar dan perancangan supaya angka pelaburan dan nilai dagangan kita terus meningkat demi kebaikan Selangor,” katanya.


