SHAH ALAM, 29 OKT: Worldwide Medivest Sdn Bhd (Worldwide Medivest) merangkul Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia The BrandLaureate kategori peranti perubatan jenama Vesti, baru-baru ini.
Menerusi kenyataan, agensi itu, yang juga anak syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) menganggap pengiktirafan tersebut sebagai persediaan meneraju industri perubatan halal di Malaysia.
"Dengan pensijilan halal ini, jenama Vesti dijangka meningkatkan pemasaran industri perubatan domestik, serta melopori dan menembusi pasaran antarabangsa khususnya negara Islam.
"(Ia) melalui produk keluaran syarikat, iaitu benang pembedahan atau sutur yang diyakini halal," kata Kumpulan Komunikasi Korporat dan Kelestarian WHB.
Kenyataan itu turut menyebut jenama Vesti digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia dan klinik perubatan swasta seluruh negara, dengan komitmen produk tersebut berkualiti tinggi.
Pada masa sama, Worldwide Medivest akan terus berusaha menghasilkan produk dengan kos efektif dan berpatutan selaras aspirasi Malaysia sebagai hab pengeluaran utama peranti perubatan.
Anugerah berkenaan disampaikan Presiden The World Brands Foundation Professor Dr K Johan kepada Pengarah Eksekutif Worldwide Medivest Kamal Zaharin Nazir di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.


