AGENSI

Ehsan Mart dapat sambutan, tawar produk lebih murah dari pasaran

29 Okt 2024, 6:00 AM
Ehsan Mart dapat sambutan, tawar produk lebih murah dari pasaran

SHAH ALAM, 29 OKT: Pasar Raya Ehsan Mart kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dibuka di Dataran Selayang, Gombak menerima sambutan hangat daripada penduduk sekitar.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata selain menjual pelbagai produk dan barangan keperluan harian, pasar raya turut menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada hujung minggu dengan menawarkan harga lebih murah.

“Pelanggan lebih selesa datang berbelanja di sini termasuk JER yang dianjur pada setiap Sabtu dan Ahad. Memandangkan pasar raya mempunyai ruang besar, mudah untuk pelanggan memilih barang. Persekitaran juga selesa.

“Sepanjang Oktober ini, JER sudah dianjurkan lapan kali. Hampir semua produk dijual habis dalam tempoh dua jam sahaja, dari 10 pagi hingga 12 tengah hari. Jadi kita akan persiapkan Ehsan Mart di seluruh DUN demi memudahkan pelanggan,” kata Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Sementara itu, beliau menjelaskan jualan murah barangan asas JER yang dianjur sejak 2022 itu akan diteruskan seperti biasa bagi membantu orang ramai mempunyai akses dan pilihan ketika berbelanja.

“Setakat ini kita akan teruskan setiap hari mengikut jadual. Sejak dianjur beberapa tahun ini, sambutan sangat menggalakkan malah penduduk sendiri mahukan JER lebih kerap diadakan,” katanya.

Pada 8 September, Dato’ Menteri Besar melancarkan Pasar Raya Ehsan Mart pertama, yang menawarkan barangan asas sehingga 15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran luar.

Bakal diperluas ke seluruh Ddewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan kesinambungan daripada program JER yang diperkenal sejak 2022.

Setakat September, JER sudah dianjur di lebih 4,000 lokasi seluruh Selangor dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta.