SHAH ALAM, 28 OKT: Karnival Jobcare Istimewa Selangor yang berlangsung hari ini menawarkan hampir 4,600 peluang kerja pelbagai sektor kepada golongan rentan terutama Orang Kurang Upaya (OKU).
Dato’ Menteri Besar berkata karnival itu juga memudahkan warga emas, Orang Asli, asnaf miskin dan suri rumah mencari kerja tanpa perlu bersaing dengan mereka yang sempurna tubuh badan.
Melibatkan lebih 40 syarikat, program julung kali itu menurut Dato’ Seri Amirudin Shari turut membuka peluang kepada bekas banduan mendapatkan pekerjaan untuk memulakan hidup baharu.
[caption id="attachment_670369" align="aligncenter" width="812"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Paparaidu Veraman melawat reruai selepas merasmikan majlis Karnival Jobcare Istimewa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, pada 28 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita mahukan mereka (golongan rentan) selesa ketika mencari kerja. Mereka rasa lebih selamat, tidak rasa bersaing dengan orang lain (sebab), kadang-kadang ada saingan daripada orang biasa.
“Kita tidak mahu mereka rasa disisihkan. Jadi kita lakukan program dan pertimbang untuk tambah baik lagi perkhidmatan negeri,” katanya selepas merasmikan program itu di sini hari ini.
Sementara itu, EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata lebih 70 peratus pekerjaan yang ditawarkan dalam karnival tersebut menyediakan gaji lebih RM2,000 dan mampu menjamin kehidupan lebih baik.
“Kerja ditawarkan bukan hanya di negeri ini tetapi luar Selangor juga untuk memudahkan lebih ramai golongan rentan mendapat kerja. Kita sarankan mereka manfaatkan peluang yang ada,” katanya.
Menawarkan jawatan dari peringkat am hingga profesional, karnival bermula 9 pagi hingga 4 petang ini melibatkan syarikat besar seperti Aeon Co. (M) Berhad, 99 Speedmart, Safeguard Secure Solutions Sdn Bhd dan Mydin Mohamed Holdings Bhd.
[caption id="attachment_670370" align="aligncenter" width="752"]
Orang ramai tidak melepaskan peluang menghadiri karnival Jobcare Istimewa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, pada 28 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]


