SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang hingga 7 malam ini.
Ramalan hujan lebat disertai ribut petir juga diramal berlaku di Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Pulau Pinang, beberapa Kawasan di Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.



