SHAH ALAM, 24 OKT: Risiko lubang benam tidak berlaku di Klang kerana kawasan itu tidak didasari batu kapur, maklum menteri kerja raya.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan tiada kes lubang bernam di kawasan tersebut sebaliknya yang berlaku adalah tanah jerlus yang berpunca faktor bukan semula jadi seperti kebocoran paip, masalah sistem perparitan dan aktiviti manusia hingga menyebabkan kegagalan struktur tanah.
“Insiden lubang benam berisiko berlaku di kawasan yang didasari oleh batuan batu kapur. Manakala insiden tanah jerlus berisiko berlaku di mana-mana kawasan yang berpunca pelbagai faktor sama ada semula jadi atau aktiviti manusia,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Ganabatirau bertanya mengenai perancangan untuk mengelak insiden lubang benam di kawasan berisiko tinggi khususnya di Klang.
Mengulas lanjut, Nanta memberitahu Kementerian Kerja Raya (KKR) bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk laluan yang terletak di kawasan Parlimen Klang.
"Bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus disebabkan kebocoran paip utiliti, KKR sudah mempunyai garis panduan prosedur pemasangan utiliti jalan Persekutuan.
"Di mana pemasangan utiliti di dalam rizab jalan Persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang sudah disyaratkan, selain pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala," jelasnya.