AGENDA

MBSJ, KDEBWM bekerjasama tawar kutipan sampah pukal sempena Deepavali

23 Okt 2024, 2:02 AM
MBSJ, KDEBWM bekerjasama tawar kutipan sampah pukal sempena Deepavali
MBSJ, KDEBWM bekerjasama tawar kutipan sampah pukal sempena Deepavali

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal percuma sempena Deepavali bermula 21 hingga 30 Oktober ini.

Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata perkhidmatan disediakan KDEB Waste Management (KDEBWM) melalui permohonan kepada syarikat berkenaan untuk penduduk di kawasan perumahan teres sahaja.

“Kategori kutipan sampah pukal hanya melibatkan tilam, perabot lama dan seumpamanya. Ingin ditegaskan, sampah ubah suai rumah, pindah rumah, barangan elektrik serta barang kitar semula adalah tidak termasuk di dalam perkhidmatan ini.

“Permohonan boleh dibuat melalui melalui talian aplikasi WhatsApp KDEBWM 011 35584437 bermula 14 Oktober hingga 23 Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, keutamaan diberikan kepada penduduk yang sedang melaksanakan persiapan menyambut perayaan Deepavali.

“Pemohon akan dihubungi oleh pihak KDEBWM bagi menetapkan tarikh pelaksanaan kutipan dan dikehendaki meletakkan sampah pukal masing-masing di hadapan rumah.

“Kutipan akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor KDEBWM pada tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.