SHAH ALAM, 22 OKT: Penerima baucar buku Madani yang belum membuat penebusan baucar boleh berbuat demikian sehingga 31 Disember ini, kata timbalan menteri pendidikan.
Wong Kah Woh berkata RM290 juta diperuntuk untuk inisiatif berkenaan yang akan memanfaatkan 3,558,024 murid sekolah dan pelajar lepasan menengah.
Kah Woh berkata setakat 21 Oktober, RM157 juta baucar buku Madani ditebus melibatkan nilai pembelian keseluruhan RM120.5 juta merangkumi 3.9 juta naskhah buku.
“Untuk memastikan pelaksanaan pemberian baucar sehingga akhir tahun ini, Kementerian Pendidikan mengadakan sesi libat urus berkaitan penebusan baucar buku kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, guru perpustakaan dan media bagi membantu murid membuat penebusan baucar ini.
[caption id="attachment_661649" align="alignleft" width="422"] Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh. Foto BERNAMA[/caption]
“Penebusan setiap negeri, daerah dan sekolah sentiasa dipantau bagi memastikan penebusan berjalan lancar dan dioptimumkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur Lee Chuan How berhubung status terkini pemberian baucar buku Madani dan jumlah peruntukan disediakan.
Kah Woh berkata secara keseluruhan, program baucar buku itu bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid malah berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei mengumumkan pemberian Baucar Buku Madani bagi menyemai dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan generasi muda.
Murid sekolah rendah (tahun empat ke atas) menerima baucar RM50 manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah seperti kolej tingkatan enam, kolej vokasional dan kolej matrikulasi serta pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menerima RM100.