ad
AGENSI

Belanjawan 2025: Tambahan pegawai halal Jais percepat proses permohonan

22 Okt 2024, 4:37 AM
Belanjawan 2025: Tambahan pegawai halal Jais percepat proses permohonan
Belanjawan 2025: Tambahan pegawai halal Jais percepat proses permohonan

SHAH ALAM, 22 OKT: Jumlah juruaudit halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertambah tahun depan bakal menggalakkan lebih ramai peniaga memohon sijil pengiktirafan halal.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata selaras langkah berkenaan, pihaknya juga akan mengikut langkah sama supaya proses di peringkat negeri seperti pemantauan dan proses audit menjadi lebih produktif.

“Ini perkembangan progresif dilakukan kerajaan. Jais juga akan buat sama. Apabila ramai pegawai dilantik, lebih ramai pemantau dan audit dapat dibuat menyebabkan proses permohonan menjadi cepat.

“Di Jais, bahagian halal memang paling ramai kakitangan. Tahun ini juga kita sudah tambah 16 orang dan bakal tambah lagi tahun depan,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.

[caption id="attachment_666588" align="alignleft" width="377"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Ketika membentang Belanjawan 2025 Jumaat lalu, perdana menteri berkata 100 lagi juruaudit halal Jakim akan ditambah bagi mempercepatkan urusan pengeluaran sijil halal.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.

Awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar menggesa usahawan Bumiputera mendapatkan sijil halal bagi memperluaskan rangkaian perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dengan adanya pengesahan halal berkenaan, produk usahawan boleh menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjamin peningkatan pendapatan.