SHAH ALAM, 21 OKT: Bantuan khas RM500 kepada guru dan petugas institusi agama adalah manifestasi tekad kerajaan dalam memartabat syiar Islam.
Melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta, insentif dalam Belanjawan 2025 itu bakal memanfaatkan lebih 70,000 penerima tahun depan.
Ketua Guru Kafa Integrasi RTB Bukit Changgang berkata sumbangan berkenaan memberi rangsangan kepada guru sekali gus meningkatkan produktiviti masing-masing.
[caption id="attachment_669286" align="aligncenter" width="762"] Ketua Guru Kafa Integrasi RTB Bukit Changgang Abdul Rahim Mat Noh[/caption]
“Memang tugas kami mendidik anak-anak tapi bila ada sumbangan khas sudah pasti mengembirakan kami, dan ia akan merangsang kami untuk tingkatkan prestasi,” kata Abdul Rahim Mat Noh ketika dihubungi.
Sementara itu, Penolong Kanan Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Kampung Atap Mohd Shukri Simon terharu dan menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai tanda kerajaan menghargai peranan pendidik.
[caption id="attachment_669288" align="aligncenter" width="762"] Penolong Kanan Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Kampung Atap Mohd Shukri Simon[/caption]
“Dalam keadaan ekonomi mencabar, bantuan ‘one off’ seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru membeli keperluan,” katanya.
Bagi nazir Masjid Teras Jernang Sazali Ismail, perhatian diberikan kerajaan kepada pengurusan masjid amat dihargai dan memberi galakan kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan produktif.
“Sumbangan yang diperuntuk untuk kami amat dihargai sekali gus memberi galakan untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh termasuk melipatganda aktiviti pengimarahan masjid,” katanya.
[caption id="attachment_660058" align="aligncenter" width="809"] Khutbah Jumaat pertama disampaikan Ustaz Ahmad Mujahid di Masjid Jamek Cina Muslim, Klang pada 23 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu mengumumkan lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menerima sumbangan khas RM500, tahun depan.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan kerajaan bersetuju menambah kuota guru Kafa sebanyak 1,500 selari tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.