AGENDA

Tawaran harga lebih murah dorong ramai rakyat beralih kepada EV

21 Okt 2024, 10:56 AM
Tawaran harga lebih murah dorong ramai rakyat beralih kepada EV
Tawaran harga lebih murah dorong ramai rakyat beralih kepada EV
Tawaran harga lebih murah dorong ramai rakyat beralih kepada EV

SHAH ALAM, 21 OKT: Rancangan sebuah syarikat automotif tempatan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) berharga bawah RM100,000 mampu mendorong lebih ramai rakyat di negara ini beralih kepada pengangkutan itu pada masa akan datang.

Penyelia sebuah syarikat swasta Irwan Umar, 45, percaya inisiatif itu juga bakal memberi dampak positif terhadap alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon selain penjimatan bahan bakar.

“Sebagai pengguna EV, saya menyambut baik pengumuman ini kerana dapat kurangkan penggunaan bahan bakar. Kita juga perlu bertanggungjawab pelihara alam sekitar.

“Saya yakin komitmen kerajaan ini akan galak lebih ramai rakyat guna EV. Walaupun harganya tinggi tetapi ia masih mampu milik,” katanya yang hampir setahun menggunakan EV.

Bagi usahawan perancang kejutan, Suzana Sueb, 43, pengumuman itu sememangnya dinantikan selepas mula berjinak-jinak menggunakan dan mengikuti perkembangan EV sejak setahun lalu.

Ibu dua anak turut mengakui penggunaan EV lebih menjimatkan kos meski kemudahan stesen pengecas masih kurang di negara ini.

[caption id="attachment_669300" align="alignleft" width="500"] Irwan Umar, 45. Foto Zareef Muzammil/Media Selangor[/caption]

“Nampak perubahan ketara sejak guna EV terutama daripada segi kos. Dengan adanya pengumuman ini mungkin akan tarik minat lebih ramai lagi guna EV.

“Namun saya harap apabila penggunaannya bertambah, kerajaan boleh sediakan lebih banyak tempat cas terutama di petrol pam termasuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R),” katanya.

Sementara itu, R Sitaraman, 50, berkata pengenalan inisiatif berkenaan mampu meningkatkan kesedaran awam berkaitan kelebihan EV berbanding kereta berasaskan petrol.

“Sebelum ini kerajaan beri pelepasan cukai untuk beli kemudahan pengecas EV dan kali ini pengeluaran EV bawah harga RM100,000. Ia usaha yang sangat bagus dalam menggalakkan ramai beli EV.

“Cuma saya cadangkan lebih banyak stesen pengecas disediakan di lebuh raya untuk mudahkan perjalanan selain tampung bilangan pengguna yang dijangka meningkat,” kata pengusaha kedai pakaian terpakai.

Seorang lagi pengguna EV Nurul Najwa Irwan, 22, berkata pengumuman itu dijangka menarik perhatian anak muda sepertinya untuk menggunakan EV yang disifatkan lebih jimat, premium dan moden.

“Saya terdetik untuk guna EV selepas melihat ibu bapa saya guna kenderaan ini. Mereka sendiri akui penggunaanya lebih jimat daripada segi kos dan penyelenggaraan.

“Saya harap pengumuman ini buka mata kepada anak muda seperti saya untuk beralih kepada EV suatu masa nanti,” katanya.

Pada 18 Oktober, perdana menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerangka insentif cukai EV distruktur supaya selari dengan hasrat menggalakkan peralihan kepada EV pemasangan tempatan.

Di bawah Ikhtiar 25: Peralihan Tenaga, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat PERODUA juga sedang merancang mengeluarkan EV berharga bawah RM100,000 bagi memenuhi permintaan rakyat.

Menerusi belanjawan sebelum ini, kerajaan turut mengumumkan pelepasan cukai empat tahun bagi perbelanjaan pengecas EV selain potongan cukai kos sewaan EV selama dua tahun.