AGENDA

Sultan ingatkan pengurusan, penyokong Selangor FC jaga tingkah laku

21 Okt 2024, 7:42 AM
Sultan ingatkan pengurusan, penyokong Selangor FC jaga tingkah laku

SHAH ALAM, 21 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua pihak termasuk penyokong Selangor FC menjaga tingkah laku bagi mengelak perselisihan di dalam atau luar padang sehingga membawa kepada keganasan.

Menurut Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitipkan peringatan itu menerusi sepucuk warkah kepada pengurusan Selangor FC pada 10 Oktober lalu.

“Mengambil kira keadaan semasa dan prihatin dengan semangat persaingan yang kian memuncak dalam saingan Liga Super, Baginda telah pun menitipkan pesanan melalui sepucuk warkah kepada pihak pengurusan Selangor FC.

“Baginda mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan,” maklumnya di Facebook.

Sultan Sharafuddin yang juga penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bertitah Baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat tanpa anasir luar.

“Titah Baginda, sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan.

“Namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan,” katanya lagi.

Selangor FC akan berdepan dua perlawanan penting berturut-turut minggu ini, bertemu Jeonbuk Hyundai Motors FC 23 Oktober dan juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT), empat hari kemudian.

Pengendali skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil berkata pemainnya juga teruja untuk melalui pengalaman menentang Jeonbuk, antara kelab handalan Korea Selatan dan berikutnya melawan pasukan terbaik negara dalam tempoh hanya selang beberapa hari.