ad
BERITA UTAMA

ECRL: Selangor arah tindakan segera atasi banjir kilat di Gombak

21 Okt 2024, 5:01 AM
ECRL: Selangor arah tindakan segera atasi banjir kilat di Gombak

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri mengarahkan Malaysia Rail Link (MRL) melaksana empat tindakan segera bagi mengatasi kekerapan banjir kilat susulan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar berkata 21 rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak berisiko dinaiki air sewaktu pembinaan akan dipindahkan ke tempat sementara dengan kos dan rumah sewa ditanggung MRL.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, MRL turut bersetuju untuk menghentikan kerja-kerja di kawasan tersebut pada hari Ahad selain hari-hari tertentu seperti hari peperiksaan.

“MRL akan menanggung kos membaiki kerosakan rumah yang disebabkan letupan bahan serta jalan-jalan utama yang turut terkesan.

“Bagi peringkat jangka panjang, sebuah kolam tadahan akan dibina bagi mengatasi banjir kilat yang berlaku,” maklumnya menerusi Facebook.

Amirudin turut memberi jaminan Pusat Khidmat Parlimen Gombak akan memberi kerjasama kepada penduduk dan MRL untuk memastikan pembinaan ECRL berjalan lancar tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat di situ.

Pembinaan ECRL melibatkan jarak 665 kilometer itu berjalan lancar dengan 67 peratus pembinaan sudah siap sepenuhnya.

Projek bernilai RM50.2 bilion itu akan menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat dan merentasi 20 stesen yang terletak di empat negeri berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

ECRL yang dijangka akan memulakan operasinya pada 2027 nanti bakal menjimatkan masa perjalanan antara Gombak ke Kota Bharu kepada empat jam sahaja melalui perkhidmatan ekspress yang ditawarkan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.