SHAH ALAM, 21 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto, yang mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Indonesia, Ahad lalu.
Menerusi Facebook, Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung kepada mantan presiden Joko Widodo atau Jokowi.
“Saya berharap hubungan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Republik Indonesia akan terus kukuh dan makmur bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto,” kata beliau.
Prabowo, 73, menjadi presiden Indonesia kelapan selepas menang besar dalam Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari, dengan memperoleh 59 peratus undi.
Beliau bersama Gibran, 37, menewaskan pencabar mereka Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.
Sebelum ini, media melaporkan Prabowo komited dengan dasar luar negara tidak bersekutu Indonesia, tetapi memberi isyarat beliau akan lebih berani di pentas dunia.
Beliau menjadikan China sebagai negara pertama untuk lawatan rasmi luar negara selepas pemilihan lapan bulan lalu, selain melawat 12 negara lain seperti Rusia, Arab Saudi dan Australia.
Beliau juga akan mewarisi ekonomi terbesar Asia Tenggara dan rizab nikel terbesar dunia, menerajui negara berpenduduk 280 juta, kira-kira separuh daripadanya berumur bawah 30 tahun.