GAZA, 19 OKT: Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk kanak-kanak dan wanita terkorban manakala ramai lagi cedera dalam serangan bom Israel di Jabalia, Khan Yunis dan Rafah pada Sabtu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Sumber perubatan melaporkan bahawa lima orang terkorban dan ramai lagi cedera dalam serangan bom ke atas sebuah rumah milik keluarga Abdul Aal di kawasan Al-Alami di kem Jabalia.
Sementara itu, dua terbunuh dalam serangan bom di Dataran Hospital Kamal Adwan.
Sumber turut mengesahkan empat orang terkorban dalam serangan bom di timur bandar Khan Yunis manakala dua lagi maut dalam serangan dron di kem Al-Shaboura, di tengah-tengah bandar Rafah.
Sejak 7 Okt tahun lalu, Israel membunuh lebih 42,000 rakyat Palestin di Gaza.
-- BERNAMA-WAFA


