AGENDA

Agih RM7.5 bilion perkasa TVET, sedia latihan buat miskin bandar

19 Okt 2024, 1:50 AM
Agih RM7.5 bilion perkasa TVET, sedia latihan buat miskin bandar

SHAH ALAM, 19 OKT: Selaras dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan meningkatkan agihan kepada RM7.5 bilion tahun depan, berbanding RM6.8 bilion pada 2024.

Perdana menteri berkata keutamaan diberikan bagi meningkatkan kerjasama industri, menyediakan peluang latihan untuk belia rentan miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli.

Membentangkan Belanjawan Madani Ketiga 2025 di Dewan Rakyat petang semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peluang pendidikan dan latihan TVET akan dipertingkat seperti:

-Kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77,000 pelajar dengan peruntukan RM1.2 bilion.

-PTPK menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20,000 pelatih termasuk RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa, AI.

-HRDCorp akan memanfaat dana RM3 bilion untuk menawarkan 3 juta peluang latihan.

-RM200 juta melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11,000 bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.

-RM55 juta untuk GiatMara dan kolej komuniti mengupaya 10,000 anak-anak huffaz dengan latihan kemahiran dalam tempoh lima tahun.

-GiatMara menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.

-Potongan dua kali atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) bawah Talent Corp. Turut diperluas kepada pelajar yang mengikuti latihan berstruktur oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.

-Perkeso bina pusat rehabilitasi serba canggih di Terengganu dengan kos hampir RM600 juta.