AGENDA

Peruntuk RM10 juta galak penggunaan motosikal elektrik dengan rebat sehingga RM2,400

18 Okt 2024, 2:00 PM
Peruntuk RM10 juta galak penggunaan motosikal elektrik dengan rebat sehingga RM2,400

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan meneruskan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik bagi tahun kedua dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim yang diperkenal pada Belanjawan 2024 diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.

“Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik projek pemasangan tempatan (CKD) sehingga RM2,400 akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan menstruktur kerangka insentif kenderaan elektrik (EV) sedia ada supaya selari dengan hasrat menggalakkan peralihan kepada EV pemasangan tempatan.

“Pada masa ini, syarikat Perodua sedang merancang untuk mengeluarkan EV berharga bawah RM100,000 bagi memenuhi permintaan rakyat,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Inisiatif itu merupakan usaha kerajaan untuk terus melonjak pembangunan industri EV tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.