Oleh SHEEDA FATHIL & FITRI HAZIM HAZAM
SHAH ALAM, 18 OKT: Putrajaya menyediakan 17 jenis bantuan pendidikan tahun hadapan dengan peruntukan sejumlah RM5.3 bilion, termasuk bantuan makanan asrama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM870 juta turut disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT), yang akan memanfaatkan lebih 860,000 murid.
Beliau menambah hampir RM800 juta pula untuk Bantuan Awal Persekolahan kepada 5.2 juta murid tahun satu hingga tingkatan lima di seluruh negara tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
“Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin juga ditingkatkan kepada RM180 juta ketimbang RM150 juta tahun ini," katanya yang juga menteri kewangan dalam pembentangan belanjawan 2025 hari ini.
Katanya, kerajaan turut bersetuju bayaran gaji tenaga pengajar dibenarkan sebagai perbelanjaan kebajikan bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar daripada keluarga susah.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan sebanyak RM4 bilion diperuntuk sebagai biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan untuk anak bangsa melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Tambahnya, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhaskan untuk pelajar susah.
“Ini ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri," katanya menambah Kementerian Pendidikan Tinggi menerima peruntukan RM18 bilion tahun depan.
Jelasnya lagi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan pembiayaan berjumlah RM500 juta khusus untuk pelajar Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


