SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak RM2 bilion diperuntuk untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah seluruh negara, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sejumlah RM1 bilion disedia untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur.
“Ia termasuklah di sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas orang kurang upaya (OKU).
“RM1 bilion lagi bagi menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah sebanyak 44 sekolah baharu akan mula dibina tahun hadapan, antaranya:
- SK Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor
- SMK Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor
- SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah
- SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah
- SK Dudong, Sibu, Sarawak
Jelas Anwar lagi, pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun 2024.


