SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM27 juta diperuntuk kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tahun depan untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat September lalu, suruhanjaya berkenaan berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan 350 syarikat dengan jumlah penalti hampir RM600 juta.
"Tahun hadapan, MyCC disediakan RM27 juta untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu Anwar berkata kerajaan turut memperuntuk RM60 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk terus membanteras ketirisan wang rakyat.
"Sejak 2022 hingga September lalu, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion," katanya.
MyCC adalah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.
Peranan utamanya ialah untuk melindungi proses persaingan bagi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi.
Sebelum ini, Anwar mahu amalan lama membabitkan kartel import baja dihentikan dan usaha berkenaan memerlukan tekad politik menghentikan amalan lama kartel memerlukan tekad politik dan ketegasan menteri yang berkenaan.
Anwar sebelum ini turut menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia Madani mampu mengekang industri beras negara daripada kawalan oleh pihak kartel.


