SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM1 bilion diperuntuk bagi meningkatkan ekonomi desa, kampung, pedalaman dan rumah panjang, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan untuk program Ikhtiar Sejati MADANI tersebut meliputi:
- RM600 juta untuk merancak ekonomi pedesaan di kampung, bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli; manakala jawatankuasa kampung yang akan memutuskan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada komuniti masing-masing.
- RM200 juta bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan.
- RM100 juta untuk universiti awam melaksana Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET memberi khidmat TVET seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti.
- RM100 juta untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi.
"...saya amat menerima baik tawaran syarikat sawit utama seperti KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations yang sudi untuk mengambil pekebun kecil sawit angkat yang berjiran dengan ladang mereka.
"Syarikat ini sedia menyediakan bantuan meliputi bekalan benih terkini dan baja terbaik serta pematuhan piawaian mampan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 hari ini.




