AGENDA

Kanak-kanak GISBH lalui proses pemulihan kerohanian awal

17 Okt 2024, 11:34 AM
Kanak-kanak GISBH lalui proses pemulihan kerohanian awal

SHAH ALAM, 17 OKT: Kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal milik GISB Holdings (GISBH) negeri ini telah melalui pemulihan kerohanian awal oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata ia termasuk memulakan solat Jumaat di tempat selamat yang telah digazetkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya aspek pendidikan kanak-kanak terlibat juga turut diambil perhatian oleh Jabatan Pendidikan Negeri selain Jabatan Kesihatan Negeri melakukan intervensi awal untuk memantau kesihatan mereka.

“Setakat ini kanak-kanak terbabit dapat menerima dengan baik, khasnya kanak-kanak yang lebih muda namun cabaran dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak lebih berusia kerana telah meluangkan masa tumbesaran formatif dan usia remaja mereka dengan doktrin GISBH.

“Pemantauan daripada pakar kesihatan dan psikologi telah dijalankan dan akan dipertingkatkan lagi,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas lanjut Anfaal berkata pasukan petugas khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang ditubuhkan Selangor sebelum ini melaksanakan bengkel hari ini dan esok bagi menyusun modul komprehensif untuk pemulihan kanak-kanak terlibat.

Katanya pembangunan modul meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kesihatan mental dan fizikal, kerohanian, perundangan dan kebajikan.

“Aspek kesihatan fizikal seperti tumbesaran dan nutrisi serta mental melibatkan kaunseling manakala bagi aspek pendidikan membolehkan kanak-kanak ini diintegrasi kembali ke sistem pendidikan konvensional.

“Aspek kerohanian untuk memulihkan pemahaman Islam mereka serta perundangan dan kebajikan agar proses pemulihan ini dapat dijalankan dengan lancar mengikut lunas undang-undang dan memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara dengan tahap kualiti penjagaan yang tinggi.

“Bengkel ini diharap dapat menyediakan pemulihan atau ‘exit plan’ untuk kanak-kanak GISBH ini, selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj),” katanya.

Selangor menubuhkan pasukan bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISBH di negeri itu.

Ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Anfaal.