AGENDA

118 penduduk Kampung Sri Kledang dipindahkan ke dua PPS

15 Okt 2024, 3:41 PM
118 penduduk Kampung Sri Kledang dipindahkan ke dua PPS
118 penduduk Kampung Sri Kledang dipindahkan ke dua PPS

SHAH ALAM, 15 OKT: Seramai 118 mangsa banjir dari Kampung Sri Kledang, Hulu Bernam utara dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pagi tadi.

Mereka yang terdiri daripada 47 keluarga termasuk enam bayi dan 10 orang kelainan upaya (OKU) ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim dan Dewan Orang Ramai Kuala Slim yang bersempadan antara Perak dan Selangor.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor, urusan penempatan mangsa di kedua-dua PPS itu berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak terutama Jawatankuasa Bencana Daerah Mualim.

Dilaporkan premis bangunan termasuk sekolah di kampung berkenaan sudah dinaiki air.

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Daerah (KPPD) Hulu Selangor, Mazalan Zainuddin berkata mangsa berada dalam keadaan baik dan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan serta kebajikan mereka.

"Walaupun terpaksa berkongsi PPS bersama mangsa banjir daerah Mualim, dalam situasi sukar ini kita mengutamakan keselamatan, kebajikan serta tahap kesihatan mangsa," katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu setakat jam 10 malam ini paras air Sungai Slim dilaporkan semakin meningkat dan ia membimbangkan kerana cuaca di kawasan itu masih hujan.

[caption id="attachment_668319" align="aligncenter" width="1047"] Mangsa banjir dari Kampung Sri Kledang, Hulu Bernam dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Slim dan Dewan Orang Ramai Kuala Slim pada 15 Oktober 2024. Foto APM Hulu Selangor[/caption]