ad
AGENDA

Lelaki maut dibaham harimau, Perhilitan pasang perangkap

15 Okt 2024, 11:09 AM
Lelaki maut dibaham harimau, Perhilitan pasang perangkap

IPOH, 15 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini mengarahkan anggotanya untuk berada di kawasan hutan berhampiran Bersia, Gerik bagi memantau kehadiran harimau selepas hidupan liar itu dipercayai membaham seorang lelaki awal pagi tadi.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya akan memasang satu perangkap khas di lokasi kejadian esok yang dirasakan sesuai dan melibatkan laluan yang menjadi kawasan rayau harimau terbabit.

“Kami mengarahkan empat atau lima anggota Perhilitan untuk bersedia di kawasan Kompartmen 42 Hutan Simpan Amanjaya untuk memantau kehadiran harimau dan esok akan pasang perangkap.

“Sehingga kejadian pagi tadi, pihak kami tidak menerima sebarang laporan berhubung kehadiran atau kebimbangan daripada mana-mana pihak tentang kehadiran harimau walaupun kawasan itu berhampiran hutan dan kejadian ini adalah di luar jangkaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dalam kenyataan memaklumkan seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik hari ini.

Beliau berkata mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat itu dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.