SHAH ALAM, 15 OKT: Sebanyak 12,519 kes berhubung kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat (ATS) 1972 direkodkan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari 2020 hingga September lalu di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN Aris Mamat berkata statistik itu mencerminkan usaha konsisten dan proaktif pihaknya untuk memastikan integriti timbangan dan sukatan dalam urusan jual beli dipatuhi oleh peniaga demi kepentingan pengguna.
“KPDN komited melindungi pengguna dan konsisten memastikan peniaga mematuhi piawaian ditetapkan dan mereka yang didapati melakukan penyelewengan atau ketidakpatuhan peraturan tidak akan terlepas berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan tegas.
“Diingatkan pelanggaran peruntukan di bawah ATS 1972 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM40,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya dan alat timbang sukat itu boleh dimohon lucut hak daripada mahkamah," katanya.
Terdahulu, beliau mengetuai 20 anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan mengejut ke atas tiga stesen minyak di sekitar Kuala Selangor bagi memastikan sukatan penandaan minyak dibayar oleh pengguna adalah sama dengan kuantiti minyak yang dibekalkan oleh stesen melalui pam minyak.
Operasi kira-kira tiga jam bermula 9 pagi itu turut disertai syarikat dilantik (SDL) iaitu De Metrology Sdn Bhd (DMSB) selaku pihak berwibawa dan kompeten bagi membuat penilaian dan menjalankan perkhidmatan penentusahan alat timbang atau sukat.
Mengulas lanjut, Aris berkata hasil pemeriksaan pematuhan penguatkuasaan ATS 1972 ke atas stesen minyak turut membawa kepada tindakan membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi jenis diesel di bawah Ops Tiris yang merekodkan nilai rampasan bermula Januari hingga September tahun ini sekitar RM16.5 juta.
“Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan diesel sepanjang 2020 hingga 2024 adalah RM52.68 juta,” katanya.
Berhubung pemeriksaan mengejut itu, Aris berkata ia menumpukan kepada beberapa aspek penting seperti ketepatan pam minyak dan meter, pemeriksaan cap sah ditentusahkan oleh SDL, menguji ketepatan isi padu bahan bakar yang dipam serta semakan ke atas rekod penyelenggaraan peralatan timbang dan sukat.
Beliau berkata semakan mendapati semua stesen minyak terbabit mematuhi peraturan timbang dan sukat serta peraturan perniagaan yang ditetapkan.
“Berhubung tindakan penguatkuasaan di bawah ATS di Selangor, kita dapati 283 kes direkodkan dari Januari hingga September lalu melibatkan nilai rampasan RM2.6 juta,” katanya.
- BERNAMA


